Monday, November 2, 2009

Aspek Perguruan Dianggap Satu Profesion

A.Aspek Keguruan Dianggap Sebagai Satu Profesion

i. Pengetahuan atau kemahiran yang diperolehi melaluai pembelajaran teori dan latihan amali dalam sesuatu tempoh masa yang panjang.
Sebelum seseorang itu menjadi guru, dia perlu menerima latihan dalam perguruan untuk menjadi seorang guru yang bertauliah. Umpananya, seorang guru mesti mempunyai Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebelum dia boleh mengajar di sekolah kerajaan. Walaubagaimanapun, samada seseorang guru itu menerima latihan perguruan atau tidak, dia mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang mata pelajaran yang hendak diajarnya.Guru juga mesti mengetahuai keadah atau cara penyampaian dalam pengajarannya supaya murid-murid dapat memahami apa yang disampaikan olehnya.Di samping itu, guru haruslah mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta dicontohi oleh murid. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, bermurah hati dan sentiasa bersifat tenang. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan yang membolehkan seseorang guru menguruskan pengajarannya dengan berkesan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psiklogi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran. Selain tugas dalam bilik darjah, guru juga mempunyai peranan-peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya guru diharapkan menjadi pengganti ibubapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukkan sahsiah murid, menjadi kaunselor kepada murid-murid, menjadi pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang elok dan seterusnya menjadi contoh sahsiah yang baik kepada masyarakat.

ii.MempertingkatkanProfesionalisme
Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini perlu menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan itu adalah untuk mendidik generasi yang akan menerajuai negara ini. Oleh itu kemahiran dan pengetahuan mengenai method-method pendidikan harus diperkemaskan dari semasa ke semasa . Untuk mendepani cabaran dan tuntutan daripada perubahan-perubahan kurikulum berkenaan, guru hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik. Sehubungan dengan kehendak tersebut guru harus mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan , Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Contohnya para guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan.Kursus-kursus pendidikan yang dihadiri penting bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks ini. Memandangkan keperluan pendidikan untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan diharapakan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasaskan ilmu dan pemikiran( Rohani Abdul Hamid,1998).

iii. Berupaya Membuat Keputusan dan Menyelesaikan Masalah Serta Berfikiran Kritis dan
Kreatif
Profesion keguruan sememangnya bidang kerjaya yang bukan sahaja mengajar atau mendidik anak bangsa, malah lebih daripada itu. Individu yang terlibat dalam profesion keguruan sebenarnya akan terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya.Sebagai pentadbir ataupun pengurus, guru harus boleh membuat sesuatu keputusan dalam melaksanakan sesuatu tindakan dan menilai semula hasil sesuatu perkara yang dijalankan.Perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan juga memerlukan guru untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Pendekatan ini bukan sahaja perlu digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah,tetapi jika perlu keadah berfikir secara kritis dan kreatif boleh diaplikasikan dalam pentadbiran,mengurus ataupun dalam perancangan sesuatu program.

iv. Mahir Menggunakan IT
Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi dunia telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran melalui ‘online’. Para guru pada hari ini telah bersikap produktif, proaktif dan responsive terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju. Ilmu dan kemahiran dalam teknologi info-komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemankin kearah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti.Sebagai pemangkin, guru menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut. Hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, menyebabkan pembangunan negara bergerak dengan rancak. Pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan untuk membangunkan teknologi maklumat seperti koridor raya multimedia [ multimedia super corridor (MSC)] yang menjadi pusat telekomunikasi dan penyiaran serantau dan antarabangsa. Hal yang sama juga berlaku dalam kurikulum pendidikan di negara ini, komputer telah dijadikan sebagai satu kurikulum di sekolah. Penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer merupakan salah satu bentuk kurikulum yang memerlukan profesion keguruan tahu dan menguasai teknologi maklumat. Penggunaan komputer dalam pendidikan membawa satu reformasi serta perkembangan baru dalam pelbagai bidang pendidikan, khasnya dalam teknologi pendidikan, teori pendidikan, teori-teori pengajaran-pembelajaran, pengurusan sekolah, sistem pentadbiran pendidikan serta kemahiran dan latihan guru ( Mok Soon Sang, 1996).
Dalam era teknologi maklumat seperti sekarang, kita berhadapan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian, malah kemudahan teknologi telah menjadi satu cara hidup seperti penggunaan pengangkutan berasaskan teknologi (LRT), perkhidmatan bank ( kad ATM), telekomunikasi (telefon bimbit), hiburan ( Video, VCD) dan lain-lain. Jadi rakyat negara ini harus dapat menangani kehidupan di era teknologi maklumat sehingga teknologi itu menjadi sebahagian daripada amalan biasa tanpa disedari. Oleh itu, profesion keguruan harus memperlengkapkan diri secara global dalam perkembangan penggunaan teknologi maklumat dalam kurikulum di sekolah.

v. Berpengetahuan dan Berdaya Fikir Serta Berakhlak Mulia.
Seseorang guru dalam profesion keguruan ini perlu serba tahu. Guru diharapkan dapat mambawa isu-isu semasa untuk perbincangan dan mencari penyelesaiannya bersama-sama pelajar di dalam kelas. Contohnya, di Malaysia kadar kemalangan jalan raya adalah tinggi, pendidikan memandu kereta adalah satu perkara yang dipandang serius oleh kerajaan pada masa ini. Keselamatn di jalan raya dan cara-cara memandu yang selamat dan bertimbang rasa boleh dibincangkan di dalam kelas untuk menyedarkan pelajar tentang keperluan memperbaiki situasi yang terdapat sekarang, dengan harapan mereka tidak akan berkelakuan sedemikian apabila mereka menjadi pemandu kelak. Melaluai pembacaan guru dapat menambah ilmu pengatahuan mengenai isu-isu semasa, sama ada yang berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti, janayah : seperti peras ugut, pecah rumah, penculikan dan seumpamanya ; ekonomi : urusan perniagaan, jual-beli saham, hartanah dan sebagainya ; politik : hubungan negara di peringkat antarabangsa dan juga pergolakan politik sesebuah negara. Dalam hal seperti ini, guru diharapkan dapat menggunakan kebijaksanaan dan inisiatif sendiri dalam menggunakan isu-isu semasa untuk dikaji dan dibincangkan dengan pelajar.

No comments:

Post a Comment